Pages

Saturday, 19 December 2009

HIJRAH SEBAGAI PENGORBANAN UNTUK PERUBAHAN

ALHAMDULILLAH, sama-samalah kita bersyukur kepada Allah yang telah memberi pelbagai nikmat kepada kita sekalian sejak dari dahulu hingga ke hari ini, yang membolehkan kita sekali lagi menyambut peristiwa Hijratul-Rasul bagi tahun ini.

Hijrah Rasul yang kita sambut ini bukanlah satu ethos sejarah semata-mata, yang disambut dan diraikan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Tetapi hijrah adalah satu sejarah yang benar-benar mengubah penafsiran falsafah hidup yang selama ini manusia gila-gila menjadikan dunia untuk dunia semata-mata. Hijrah disambut kerana ianya mengandungi suka duka dan pahit maung perjalanan hidup seorang pejuang kebenaran yang diketuai oleh seorang Nabi dan Rasul yang bernama Muhammad SAW.

Hijrah adalah satu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tidak ada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah suatu tuntutan hidup. Berubah dari suatu yang buruk kepada yang baik, dari yang baik kepada yang terbaik.

Setiap orang Islam mesti ada semangat dan cita-cita untuk berubah. Berubah dari segala sifat yang mazmumah kepada mamduhah. Oleh itu Allah mewajibkan manusia membaca al-Fatihah di setiap kali hamba-Nya. Dalam al-Fatihah terkandung ayat yang bermaksud: Ya Allah Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus.


Persoalannya bagaimanakah jalan yang lurus itu akan kita perolehi kalau kita tidak lakukan perubahan dan berkorban? Di atas dunia ini apabila manusia ingin membina lebuhraya yang baik dan selesa kita mesti melakukan pemotongan, pembetulan, potong sana dan gali sini, luruskan mana yang bengkok, timbun mana yang berlubang dan sebagainya. Inikan pula kita hendak mendapat jalan yang lurus untuk dunia dan akhirat. Sudah tentulah banyak pengubahan dan pengorbanan yang diperlukan. Oleh sebab itu Islam mengajar kita melakukan alamru bil ma'ruf wannahyu anilmunkar.

Iaitu mengubah akidah syirik kepada tauhid, mengubah zat pencarian yang haram kepada yang halal, mengubah sikap mendewa-dewakan manusia kepada mendewa-dewakan Allah Azawajalla. Bukanlah kerja maninan yang boleh dilakukan sambil lalu. Dia memerlukan hujah yang jelas, hala tuju yang diterima akal, menyebabkan Nabi SAW. sendiri rela meletakkan diri baginda di dalam keadaan yang serba sulit dan bahaya. Sehingga baginda telah diancam untuk dibunuh, ditangkap atau dihalau oleh musyrikin Mekah. Kenapa sampai begitu sekali ancaman yang terpaksa diterima oleh baginda? Tidak alain dan tidak bukan ialah kerana Nabi datang membawa perubahan ke arah jalan yang lurus. Yang memerlukan terlalu banyak perkara yang terpaksa dibuat perubahan bermula dengan perkara yang pokok yang besar-besar seperti akidah dan perundangan hinggalah perkara-perkara lain yang lebih kecil tetapi menjurus dan boleh memberi kesan kepada kebaikan yang hendak dicapai.

Perkara-perkara yang besar yang telah diubah dimulakan dengan masalah dasar hidup (akidah) seperti ketuhanan dari amalan syirik menyembah berhala diubah oleh Nabi supaya manusia menyembah Allah, kezaliman ditukar kepada keadilan, huru-hara diubah kepada keamanan dan kedamaian, amalan penindasan sesama makhluk ditukar kepada pembilaan dan kesaksamaan dan berbagai-bagai lagi. Malah bagi perkara yang lebih kecil pun diubah oleh Nabi SAW. seperti hari niruz atau perayaan menyambut tahun baru di kalangan masyarakat jahiliyah ditukar menjadi dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji, daripada suka menyimpan misai tanpa janggut diubah supaya mengekalkan simpanan janggut dan menipiskan misai. Nama-nama orang yang membawa makna yang buruk atau hodoh seperti Abdulkhail (hamba kuda) ditukar kepada Abdul Khair (hamba yang baik), bayaran maskahwin yang mahal ditukar menjadi lebih murah, supaya kehidupan seks tidaklah berkisar di kalangan orang-orang yang berduit semata-mata. Kemurahan itu menyebabkan kehidupan menjadi senang dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.


Kesimpulannya terlalu banyak perubahan oleh Nabi SAW. dalam usaha untuk mendapat siratul mustaqim. Kesemuanya ini memerlukan kefahaman yang mendalam dan juga pengorbanan jiwa dan azam yang tinggi. Oleh hal yang demikian, kalau ada suara-suara yang mengkritik perubahan yang dibuat sekarang untuk mendapatkan siratul mustaqim dengan mencontohi Rasul SAW. maka itu menunjukkan bahawa golongan seperti ini adalah golongan yang tidak faham kandungan ajaran Islam dan tidak faham makna dan hakikat dari peristiwa hijrah walaupun mereka juga menyambut peristiwa hijrah.

0 comments:

Post a Comment