Pages

Tuesday, 1 September 2009

Permasalahan Sebatan

Muqaddimah


Saya tertarik satu pembentangan berkaitan hikmah di sebalik hukum Had yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran kepada wanita dan lelaki yang berzina. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nur, ayat 2 yang bermaksud :


Perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman.

Apabila kita mendalami perlaksanaan hukuman ini, sebatan yang dianjurkan dalam Islam tidak seperti hukuman sebat yang dijalankan di Malaysia hari ini. Hukuman sebatan dalam Islam walaupun 100 kali sebatan tidak sama dengan 5 kali sebatan dalam perlaksanaan hukuman di Malaysia yang melukakan. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang setelah dua tahun disebat.

Sebatan dalam Hukum Islam

Alat Sebat


Alat sebat tidaklah dalam satu jenis dan satu bentuk sahaja sebat bolehlah dijalankan dengan menggunakan rotan atau pelepah tamar atau ranting kayu ataupun hujung kain bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksudnya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.


Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya maka itu hendaklah sederhana ukurannya jangan terlalu muda atau terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah. Ini kerana tujuan yang sebenar hukuman sebat bukan hendak membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.


Perlaksanaan

Ketika melaksanakan hukuman sebat hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya sehingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkatan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya.


Anggota yang boleh disebat



Pukulan hendaklah diatur supaya kena merata-merata anggota tubuh badan pesalah itu kecuali muka, kepala dan dada ditegah sama sekali memukulnya dan tidaklah boleh disebat hanya setempat sahaja.


Keadaan pesalah

Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakain yang tebal atau beralas yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereka berpakaian demikian “tebal” hendaklah diganti dengan pakaian yang nipis “sederhana”.

Hikmah Hukuman Sebat Dalam Undang-undang Islam Menurut Kacamata Sains



Berkaitan hukuman dalam kesalahan zina, saya masih ingat penerangan oleh beberapa penceramah disamping bacaan yang saya temui bahawa penzina yang belum berkahwin, mereka mempunyai antibody T4 Limfosit yang kuat dan masih bertenaga. Jika sekiranya seseorang penzina itu dihinggapi HIV selepas penzinaanya, T4 Limfositnya akan diserang oleh HIV Aids yang akan menyebabkan sel-sel T4 Limfositnya musnah sehingga menyebabkan mati dan akhirnya sel sum-sum tulangnya mengalami kelumpuhan dan fibrosis dan tidak lagi dapat lagi menghasilkan sel-sel T4 yang baru. Badan akan lemah dan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit akan menyerang.

Pesakit jenis ini juga mempunyai kemungkinan untuk disembuhkan. Tetapi dengan syarat perlu dilakukan sesuatu untuk merangsang penghasilanan sel-sel T4 yang baru serta mengelakkan sum-sum tulang daripada fibrosis .Cara terbaik adalah dengan menyebat diantara bawah tengkuk dan di atas pinggang di bahagian belakang. Penghasilan sel-sel T4 yang baru akan dapat membantu seseorang manusia menyelamatkan dirinya dari virus HIV Aids yang sangat ditakuti hari ini. Subhanallah, apa yang dapat kita lihat, hukuman yang Allah s.w.t. anjurkan bukan sahaja dapat memadamkan dosa-dosa lalu, tetapi juga kebaikan kepada fizikal manusia. Di samping itu, dari sudut psikologinya, hukuman yang dilaksanakan dihadapan orang ramai sudah pasti akan dapat menjadi pengajaran yang cukup berguna.

Optimis Mukmin

Saya sangat yakin perlaksanaan hukum Allah s.w.t. adalah yang terbaik untuk manusia, termasuklah isu Kartika yang menjadi buah mulut kepada ramai pihak. Allah s.w.t yang menjadikan manusia, sudah pasti Dia Maha Mengetahui panduan terbaik untuk manusia, maka dikurniakan kepada kita nikmat al-Quran dan Rasul. Jika kita membeli telefon bimbit Nokia, mengapa perlu mencari buku panduan telefon bimbit Motorolla serta mendengar nasihat dari pakar Motorolla yang tidak tahu menahu berkaitan telefon bimbit Nokia?



Penyelesaian isu arak ini, tidak dapat tidak kita perlu kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai penyelesaian terbaik. Pada pandangan saya, tidak cukup hanya "bilis-bilis" seperti Kartika sahaja yang dihukum, "jerung-jerung" besar yang menjadi pengedar yang melampau juga perlu dicari termasuk ahli-ahli politik yang berkepentingan dan turut "membeli saham" dengan meluluskannya. Berapa ramai orang-orang kenamaan yang sudah menjadikan arak umpama "air mineral" dalam kehidupan yang sedang bertepuk tangan melihat isu Kartika, namun mereka tetap sedang hidup selesa. Arak tetap haram kepada muslim walau ikan bilis atau jerung. Mereka juga layak dihukum walau sebesar mana diri mereka jika benar kita serius untuk mencegah muslim mendekati arak.


MOHD IDRIS BIN MOHD YUSSOFF

Presiden, Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM)

0 comments:

Post a Comment