Pages

Wednesday, 5 August 2009

Islam masa Depanku..

Kita perlu meyakini bahawa masa depan adalah milik Agama Allah swt iaitu Islam. Islam adalah satu atur cara hidup yang diturunkan oleh Allah swt. Oleh itu Allah swt sahajalah yang paling ampuh dan mampu menyusun urusan hidup manusia. Dialah paling layak untuk memimpin manusia.


Islam adalah satu-satunya manhaj (sistem) atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia yang sejahtera. Islam dapat memperseimbangkan tuntutan lahiriyah dan rohaniyah manusia. Firman Allah swt:


أَلا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ (١٤


“Tidakkah yang mencipta itu lebih mengetahui. Dan Allah itu Maha Penyantun lagi Maha Mengetahui.” Surah Al Mulk - Ayat 14


Mengapakah Islam akan menguasai masa depan dunia?

Jawapannya ialah:


1. Islam adalah manhaj Rabbani yang merupakan corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Islam mampu untuk kekal dan tamadunnya dapat memberikan saham untuk setiap zaman, tempat dan peringkat.


2. Manhaj hidup Islam yang universal menyerlahkan ciri keinsanan, ciri infitah (terbuka dan kelapangan) dan berupaya untuk menanggung sebarang kemungkinan. Ciri infitah ini melampaui pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Ciri-ciri ini adalah cetusan daripada Sibghah Rabbani.

3. Keanjalan manhaj hidup Islam memberikan daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti. Sibghah atau ciri ini membuatkan Islam berkebolehan untuk berijtihad atau menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tiada nas sama ada melalui Qiyas, Masalih Mursalah, Istihsan dan sebagainya.


4. Ciri manhaj hidup Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat terbatas. Manhaj hidup Islam adalah ciptaan Zat yang Maha Mengetahui akan masalah manusia, apa yang baik untuk manusia dan apa yang buruk untuk manusia. Dia Maha Mengetahui apa yang membahagia dan apa yang mencelakakan hidup manusia. Oleh itu Islam sahaja mampu memenuhi keperluan manusia baik individu mahupun kelompok, kepimpinan mahupun perundangan, urusan dalam negara mahupun urusan luar negara. Firman Allah swt:


صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ (١٣٨


“Itulah sibghah (corakan/celupan) Allah, maka siapakah yang lebih baik celupannya daripada celupan Allah.” Surah Al Baqarah - Ayat 138


5. Sistem hidup sekular ciptaan manusia telah bersimpang-siur dan menemui kegagalan, baik di timur mahupun di barat, sama ada sistem kapitalisme, sosialisme, liberalisme ataupun komunisme. Tidak syak lagi semua sistem itu ada batasan dan kelemahannya. Hakikatnya semua sistem itu adalah ciptaan manusia dan lemah.


6. Dalam arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sistem kanan atau sistem kiri ternyata gagal memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan hidup manusia. Malah telah banyak malapetaka ditanggung oleh manusia cetusan daripada sistem-sistem itu. Ikatan kekeluargaan semakin terburai, kasih sayang semakin pudar dan akhlak semakin luntur. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran telah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri sendiri mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.


7. Dalam bidang ekonomi, sistem-sistem hidup kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal mewujudkan syurga impian atau masyarakat serba adil seperti yang dilaung-laungkan. Daripada sistem-sistem ini tercetus bermacam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial, ta’asub kepartaian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.


8. Dalam arena politik, sistem-sistem ala ketenteraan, demokrasi dan republik beraja atau tidak beraja bertanggungjawab melahir, merangsang dan membiakkan penyelewengan dan kejahatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, pilih kasih, rasuah, bermegah dengan kekuasaan, fitnah, pembunuhan, penggulingan kuasa yang silih berganti, pemberontakan, penyingkiran dan bunuh curi hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut

9. Dalam bidang ketenteraan, sistem-sistem ini banyak menanggung dosa, mangabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah. Peristiwa-peristiwa di Kashmir, Eriteria, Bosnia, Mindanau, Chechnya, Palestin dan sebagainya adalah bukti-bukti nyata. Lebih parah, ada negara Islam atau Arab yang menjadikan krisis itu sebagai daun-daun permainan politik untuk digadai atau dipergunakan bagi menjamin kekuasaan mereka akan berterusan. Firman Allah swt:


يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ (٦)الَّذِي خَلَقَكَ فَسَوَّاكَ فَعَدَلَكَ (٧)فِي أَيِّ صُورَةٍ مَا شَاءَ رَكَّبَكَ (٨


“Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah. yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.” Surah Al Infitar - Ayat 6-8




0 comments:

Post a Comment