Pages

Sunday, 30 August 2009

Erti Kemerdekaan

Bila kita menyebut tentang kemerdekaan, ia adalah merupakan suatu pengertian yang telah menjadi sifat atau fitrah semulajadi manusia. Iaitu dengan lain-lain perkataan,
kemerdekaan adalah sesuatu yang menjadi keinginan semua manusia di dunia ini.

Tidak ada manusia di dunia ini yang tidak menginginkan kemerdekaan. Bahkan ia lebih menjadi suatu perkara yang dicita-citakan oleh setiap manusia. Cuma yang berbeza dalam
pengertian setiap manusia di dunia ini adalah memahami apakah erti kemerdekaan itu dan bagaimana bentuk kemerekaan itu serta bagaimana pula usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai kemerdekaan itu.

Dalam konteks ini, setiap individu manusia atau setiap kumpulan manusia atau setiap bangsa, masing-masing ada mempunyai fahaman dan pandangan yang tersendiri dalam
memberikan erti kemerdekaan itu, bagaimana bentuk kemerdekaan itu dan bagaimana harus diusahakan untuk mencapai kemerdekaan itu. Dan dalam hal ini, kalaulah kita
tanyakan kepada seorang individu tentang fahaman dan pandangannya terhadap erti kemerdekaan itu, kelak ada yang akan berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas membuat apa sahaja, tanpa batas dan mengikut apa sahaja yang dikehendaki oleh hawa nafsu manusia itu, sekalipun berlawanan dan bertentangan dengan undang-undang,tatasusila dan hak asasi manusia lain.

Kemudian kalau kita tanyakan kepada kaum buruh pula .iantang fahaman dan pandangan mereka terhadap ertinya kemerdekaan, mereka pula nanti berkata bahawa kemerdekaan bererti bebas dari cengkaman kaum kapitalis. it bagi mereka, kemerdekaan bererti mereka dapat membuat tuntutan terhadap kehendak-kehendak yang diperlukan olel kaum buruh.

Dan kalau kita bertanya pula kepada golongan nasionalis tentang fahaman dan pandangan mereka terhadap kemerdekaan, mereka pula akan berkata bahawa ia bererti terlepas
daripada dijajahi oleh bangsa lain ke atas bangsa dan negaranya. Dan bagi mereka,kemerdekaan bererti mereka dapat mengatur kehidupan bangsa dan negara samada dari segi politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lainnya mengikut apa yang mereka kehendaki.

Kepada golongan kapitalis pula, kemerdekaan bererti mereka dapat menggunakan modal dengan sebebas-bebasnya untuk mendapat keuntungan sebanyak mana yang mungkin walaupun terpaksa menindas kaum buruh ataupun merosakkan akhlak manusia atau menempuh jalan yang haram.

Cukuplah kita paparkan sekadar itu erti kemerdekaan sebagaimana yang difahamkan oleh sebahagian manusia.

KEMERDEKAAN YANG MEMBUAT HURU HARA

Erti kemerdekaan yang telah disebutkan tadi, jika setiap individu atau kumpulan atau bangsa itu mengamalkan fahaman dan pandangan masing-masing mengikut cara masing-masing serta memperjuangkan-nya mengikut fahaman dan pandangan mereka sendiri,sudah barang tentu akan berlaku pertembungan dan pelanggaran antara satu golongan dengan golongan yang lainnya, antara individu dengan individu dan antara satu
bangsa dengan satu bangsa yang lain. Akhirnya timbullah krisis demi krisis hingga membawa kepada peperangan dan pertumpahan darah antara mereka.

Akibatnya, lahirlah bermacam-macam bentuk jenayah dan kemungkaran di muka bumi Tuhan ini dan akhirnya manusia hidup dalam huru hara dan dalam kecelakaan.Kebimbangan dan ketakutan sentiasa menyelubungi jiwa manusia. Kalau demikianlah keadaannya, apakah ini yang dikatakan kemerdekaan?

Apakah dalam keadaan jiwa yang tertekan oleh kebimbangan dan ketakutan itu dikatakan jiwa yang merdeka? Sebenarnya, inilah yang dikatakan kemerdekaan yang bukan kemerdekaan! Kehidupan yang seumpama inilah yang digambarkan oleh Allah S.W.T di dalam firman-Nya yang berbunyi:
Maksudnya:
"Lahirlah kerosakan di daratan dan di /autan oleh kerana usaha manusia sendiri sehingga Ailah merasakan kepada mereka sebahagian dari (azab perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar. " - Ar Rum 41

Inilah yang dikatakan neraka dunia sebelum neraka akhirat. Apakah sudah masuk neraka dan merasakan azabnya di dunia ini lagi, dikatakan yang kita ini merdeka? Atau dalam lain-lain perkataan, dapatkah kita merasakan nikmat kemerdekaan yang kita perjuangkan itu kalau pada hakikatnya kita berada dalam keazaban neraka dunia! Apakah sudah masuk neraka masih kita mengatakan yang kita ini merdeka?
Firman Allah lagi:
Maksudnya:
"Bahawasanya mereka, usaha mereka telah tersesat di dunia ini sedang mereka menyangka mereka telah membuat kebaikan. " - Al Kahfi: 54.

Rupa-rupanya, kemerdekaan yang dicari, neraka yang ditemui. Inilah akibat mencari kemerdekaan dengan mengikut hawa nafsu semata-mata atau mengikut fikiran yang tidak berlandaskan syariat. Usaha-usaha manusia seperti ini tidak sampai kepada matlamat dan akan berakhir dengan kegagalan. Mereka yang gagal mendapat kemerdekaan yang hakiki akan mendapat seksa neraka di akhirat nanti.

Tuesday, 25 August 2009

Ramadhan 2 Zaman



ramadhan satu nasib tak serupa
peluangnya sama natijah berbeza

ramadhan mereka gembira cemerlang
mukmin berjasa diawal zaman
ramadhan kami malam terbuang
muslim berdosa di akhir zaman

mereka gembira kerana kedatangan mu
kami gembira dengan pemergian mu
malam mereka meriah disimbah nur al quran
tp malam kami muram bertemukan mu

mereka berlumba mengejar makrifat
tp kami lesu diburu nafsu
hati mereka bercahaya digilap takwa
jiwa kami gelap didera dosa

takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan ramadhan
takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga



Sunday, 23 August 2009

Air Mata Tafakur Ramadhan

Najwa melangkah longlai menuju ke kampus. Bukan kerana penat tubuhnya, tetapi terasa jiwanya ada sesuatu yang tidak kena. Najwa terasakan dirinya ibarat belon yang tak cukup udara, tekanan atmosfera luar yang lebih tinggi memenyekkan belon itu. Ramadhan telah berlalu, separuh daripadanya. Najwa mengkontemplasi saat-saat lepas di dalam Ramadhannya kali ini, apakah yang telah dicapainya. Ditakdirkan Allah assignment di universiti sangatlah banyak, yang kadang-kadang dia tidak mampu untuk iltizam dengan tilawah Al-Quran 1 juzuk sehari. Mahupun ingin berlama-lama di atas sejadah, kerana perbincangan di sana sini. MP3 player berisi ayat-ayat Al-Quran oleh Sheikh Mishari al Efasy menjadi peneman jiwanya yang terasa kosong.

“Ya Allah, jangan jadikan aku orang yang mensia-siakan bulan mulia ini..” Najwa mengeluh sendirian.

Penat juga dia mengenangkan, kenapa pula kelopak matanya tersangat kering. Dia juga letih mengenangkan, kenapa apabila dia membaca kalamullah tidak tersentuh jiwanya. Najwa teringat surah Al-Anfal ayat 2 :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah apabila disebut nama Allah, bergementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya,bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakal!”
Najwa mengulangi doa yang diajarkan Rasulullah SAW:

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta(Tiada Tuhan selain Engkau)”
(Riwayat Abu Dawud, Ahmad)

Najwa singgah duduk di atas kerusi di bawah pokok. Musim bunga kali ini dirasakan tidak membunga-bungakan iman di dalam hatinya. “Ya Allah hanya rahmatMu yang aku harapkan”.Dalam hati Najwa mengulangi doanya itu. Tiba-tiba terdetik di dalam hatinya: Benar-benarkah hanya rahmat Allah yang dia harapkan? Benarkah hanya kepada Allah dia berharap, benarkah dia berharap Allah mengiringinya di dalam setiap urusannya. Najwa teringat suatu peristiwa, semasa Najwa mengajak beberapa juniornya untuk mengikuti program agama mingguan. Dia terasa sangat gembira kerana melihat wajah adik-adik yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Pada hari tersebut, Najwa dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan tazkirah.

Usai tazkirah tersebut, Siti, salah seorang juniornya berkata kepadanya, “Best la tazkirah kak Najwa…” Najwa terasakan dadanya kembang keseronokan. Najwa tersentak. Kelopak bunga spesis Rhododendron berterbangan ditiup angin. “Oh… Di situlah silapnya…. Benarkah aku hanya mengharapkan rahmat Allah dari amal yang aku perbuatkan? Rupa-rupanya, aku masih seronok dengan pujian. Sedangkan aku tak tahu, sama ada amal itu masih diterima Allah atau tidak…. Ya Allah, benar-benar kali ini…. Hanya rahmat Engkau sahaja yang aku harapkan… Lebih baik sekiranya manusia benci aku atas usaha aku, asalkan Engkau tidak marah kepadaku” Najwa mengenangkan, rahmat Allah sudah semestinya tersangat besar.

Allah, Dialah Tuhan yang telah menyelamatkan Najwa daripada lemas di dalam paya busuk jahiliyah. Allah, Dialah Tuhan yang telah melahirkan perasaan malu dalam dirinya, lalu perasaan malu itu menyelamatkan Najwa dari percampuran bebas lelaki dan perempuan. Dengan perasaan malu itu juga, pakaiannya semakin sopan menepati cirri-ciri muslimah. Allah, Dialah Tuhan yang telah memilihkan teman-teman seperjuangan yang saling memperingatkan kepada kesabaran, keimanan dan mengajak kepada amalan soleh. Najwa teringat lagi, apabila dia sibuk mengendalikan sebuah program semasa cuti musim bunga. Masya-Allah, Allah telah beri dia keizinan untuk berlari ke sana ke mari, kelam kabut, berpenat-penatan untuk memikul tugasan dakwah. Allah telah beri peluang untuk dia mujahadah. Tapi, dia kelam-kabut dalam solatnya kerana ingin mengejar urusan “dakwah”nya. Dia tidak dapat iltizam dengan tilawah Al-Qurannya. Dia tidak sempat berhenti seketika untuk muhasabah amalan-amalannya. Tiba-tiba Najwa tersentak lagi…

“Mengapakah kamu suruh orang lain mengerjakan amal kebaikan, sedangkan kamu melupakan diri sendiri, padahal kamu membaca Al-Kitab ?Maka tidakkah kamu berfikir?” Najwa teringat Surah Al-Baqarah ayat 44. Ya benar… Dia telah melupakan dirinya sendiri. “Ya Allah, benar-benar kali ini… Aku mengharapkanMu jangan tinggalkan aku bersendirian bersama urusan-urusanku… Walau pada kadar sekelip mata,” Najwa berharap. Sesungguhnya manusia itu pelupa sifatnya. Manusia itu zalim terhadap dirinya. Hanya atas rahmat Tuhan Yang Maha Penyayang yang mampu menghindarkan manusia daripada menzalimi diri mereka sendiri. Manusia jua mudah terasa dirinya serba cukup. Mudah sahaja terasa bahawa dia tidak memerlukan sesiapa untuk membantu urusannya. Kerana dia mempunyai kepandaian, kekuatan fizikal dan kelebihan untuk mengendalikan urusan hariannya.

Tetapi, manusia lupa… Di belakang sesuatu urusan, Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui sedang memerhatikan apa yang manusia perlakukan. Malah, Dia mengetahui apa yang berada di benak fikiran dan lubuk jiwa insan. Najwa terkedu… “Hah! Termenung apa tu!” Najwa disentakkan oleh temannya, Hayati. “Awak ni, terkejut saya tau!” Najwa mencebik. “Alah… Maaflah… Assalamualaikum” Hayati tersengih sambil memberi salam. “Awak dah sampai ke negeri China ke tadi Najwa? Maaflah ganggu kembara angan-angan awak” Hayati memang terkenal dengan sifat suka menyekat. Walaupun begitu Hayati memang seorang yang sangat tajam pemerhatiannya. Najwa sengih sahaja.

Najwa bertanya kepada Hayati, “Kaifa imanuki?(Apa khabar iman kamu?)”. Hayati senyum, “Alhamdulillah… Alhamdulillah… I hope to stay in Ramadhan all the time!” Najwa sambung lagi, “Kongsi la tips. How to benefit this Ramadhan?” Hayati melarikan anak matanya ke kiri dan ke kanan. “Err… Saya tak pandai la bab-bab kasi tips ni. Tapi saya nak share something. Tazkirah yang saya dengar dari seorang Sheikh semasa solat terawikh kat mussollah”. “Surah Al-Ma’un ayat 4-5. Dalam ayat 4… Allah mencela orang yang bersolat. Pelik ye, kenapa pula bila kita bersolat, yakni beribadah tetapi kita masih dicela oleh Tuhan kita. Awak rasa kenapa, Najwa?” Hayati bertanya.

“Alah, mana la saya tau… Awak citer je la” Najwa malas berfikir. “Okey lah, kalau kita tengok ayat 5, Allah cakap “iaitu orang-orang yang lalai di sekitar solat mereka”.. Kalau tengok perkataan Arab ‘an solaatihim, bukannya fi solaatihim. Maksudnya, Allah cela orang-orang yang lalai di sekitar solatnya, iaitu di luar solatnya dia lalai. Ia bukan merujuk kepada orang yang lalai semasa solat mereka. Seolah-olah, orang tu telah lari dari tujuan solatnya kerana solatnya masih tidak dapat melindungi dirinya daripada berbuat maksiat apabila dia selesai solat. Itu sebab Allah cela”.

“Macam kitalah, kalau dok dalam usrah, kita asyik cerita pasal kena amar ma’ruf nahi mungkar… Tapi kalau di luar usrah, kita tak buat pun apa yang kita perkatakan tu… What is the purpose of the usrah to begin with?” Hayati berkata. Hayati menyambung lagi, “Awak ni macam ade problem je…” Najwa melarikan pandangannya, “Hmm… Biasalah, hati kurang sihat”. Hayati berkata lagi, “Alhamdulillah… Awak masih dapat rasakan sama ada hati awak baik ke tidak. Rasullullah SAW pernah bersabda, siapa yang dalam saat imannya rendah, tetapi masih berpegang kepada Sunnah baginda, sesungguhnya dia telah mendapat petunjuk”. “Iman kita memang ada turun dan naik. Tapi di saat down ni, sebenarnya Allah nak kasi clue kepada kita. Betapa seronok dan indah apabila iman kita baik. Allah nak beritahu kita bila kita tengah down ni, bahawa Allah rindu dengar kita merintih dan mengadu kepadaNya… Sepertimana ada satu Hadith Qudsi, Allah berfirman “wahai malaikat, turunkanlah musibah ke atas hambaKu, kerana Aku rindu mendengar dia merintih kepadaKu”

"Awak tau Najwa… Asalnya, kita tak perlu pun mengadu kat Allah dosa-dosa yang kita buat atau kejahilan yang kita buat… Sebab Allah memang dah tau pun. Tapi Allah suruh kita doa dan mengharap kepadaNya, supaya kita lebih akrab kepada Allah” Hayati mengusap-usap kepala Najwa. Najwa menyeka air mata. Ah! Akhirnya basah juga kelopak matanya! Benarlah, bertafakur lebih baik daripada solat 1000 rakaat. Kini, Najwa terasa kalbunya lebih ringan. Mudah-mudahan langkahnya selepas ini mengharungi saat-saat terakhir Ramadhan diterima oleh Allah.

Thursday, 20 August 2009

Ramadhan yang bakal menjelma

RAMADAN yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Kita yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan.

Seronok dan bimbang. Seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal dengan bulan yang penuh berkat. Bimbang kerana kurang yakin ibadat maksimum akan dapat dilaksanakan. Risau, takut amal tidak membuahkan takwa yang diharapkan.

Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.

Ramadan juga mencatat sejarah gemilang kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan material tiga kali ganda dalam Ghazwah Badar al-Kubra.

Ketibaan bulan mulia penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang-gemilang. Oleh itu, ketibaannya perlu disambut dengan beberapa persediaan yang cukup selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa. Ketibaan sekali lagi Ramadan, untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan.

Betapa besar kurniaan Allah kepada kita pada Ramadan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdoa supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepada-Nya.

Bagi pejuang spiritual, peluang mengecapi Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Apabila tamat Ramadan tahun lepas, kita iringi pemergiannya dengan tangisan penuh ketakwaan dan air mata keinsafan.

Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipat gandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimumkan segala peluang pada Ramadan ini.

Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah.

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadan ialah :

1) Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.

2) Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.

3) Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadan. Ramadan adalah bulan rukuk dan sujud.

4) Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.

5) Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.

6) Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat. Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.

Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat pada Ramadan.

Tuesday, 18 August 2009

Hari Memperingati Al-Quds

CERAMAH

UMUM

Tarikh : 20 0G0S 2009/

29 SYA’ABAN 1430

Hari : Khamis

Masa : selepas solat maghrib

Tempat : Surau Ar-razi

Hari Memperingati

Al-Quds

Thursday, 13 August 2009

Malam Bina Amal Dan Taqwa

MALAM BINA

AMAL DAN TAQWA (MABIT)



Hari : Jumaat malam sabtu

Tarikh : 14 ogos – 15 Ogos 2009

Tempat : Surau Ar-razi



Tentatif Program :

12.00 mlm : Tido di surau Al Razi (muslimin shj)
4.45 pagi : Qiamullai
5.45 pagi : Solat subuh berjemaah
6.15 pagi : Bacaan Al-Mathurat
6.30 Pagi : Kuliah subuh


Semua dijemput hadir..!!!!