Pages

Thursday 16 July 2009

Siapakah Ar Razi?


AR-RAZI PAKAR FARMASITIKAL


Latar Belakang


Al-Razi merupakan seorang tokoh perubatan Arab yang terkenal pada Zaman Pertengahan. Nama sebenar beliau ialah Abu Bakar Muhammad Ibn Zakariya tetapi di kalangan masyarakat Eropah, beliau lebih dikenali dengan nama Rhazes. Beliau yang berbangsa Parsi dilahirkan di Rayy berhampiran Tehran, Iran pada tahun 864M bersamaan 251H..


Memandangkan minatnya yang tinggi dalam bidang tersebut, beliau telah dilantik sebagai ketua di sebuah hospital di Rayy setelah kembali dari Baghdad. Seterusnya beliau dilantik sebagai Pengarah di sebuah hospital utama di Baghdad semasa pemerintahan Adhud Daulah. Sebaik sahaja bersara, beliau kembali ke kampungnya di Rayy di mana beliau telah mengajar kesihatan di hospital tempatan dan menyambung minatnya dalam bidang penulisan. Al-Razi akhirnya meninggal dunia pada tahun 930 M.


Sumbangan

Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam pelbagai bidang. Beliau menjadi perintis dalam bidang pediatrik (berkaitan kanak-kanak), obstetrik (ilmu perbidanan) dan ophthalmologi (berkaitan mata). Walau bagaimanapun, jasa beliau dalam bidang perubatan memang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau digelar "Bapa Pediatrik" oleh ahli sejarah kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengubati penyakit kanak-kanak. Beliau juga orang yang pertama mengenalpasti penyakit 'hay fever' dan penyebabnya.


Al-Razi juga adalah orang yang pertama memperkenalkan alkohol (Bahasa Arab: Al-Kuhl) untuk tujuan perubatan. Beliau juga adalah pakar bedah yang terkemuka dan orang yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius. Beliau juga menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau mengaitkan ini sebagai hasil pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan.


Al-Razi adalah orang yang pertama membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa dan juga saintis pertama yang membincangkan mengenai pembesaran dan pengecilan pupil mata. Beliau menerangkan bahawa reaksi tersebut berlaku kerana tindak balas terhadap keamatan cahaya.
Al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litoriti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil supaya senang dikeluarkan melalui saluran kencing. Selain daripada itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang yang pertama membezakan kedua-dua penyakit ini seterusnya membuat kajian sistematis mengenai penyakit tersebut. Ini dicatatkan dalam buku beliau yang bertajuk Al-Judari wa al Habsah.

Al-Razi juga telah memperkenalkan perkara-perkara berikut dalam ilmu farmasi:
a. Penggunaan ubat untuk melawaskan pembuangan air besar secara lembut
b. Penggunaan air sejuk untuk menyembuhkan demam yang melarat
c. Penciptaan benang seton dan pembakaran tisu untuk kes-kes luka


Al-Razi juga menekankan hubungan di antara doktor dan pesakit. Beliau menyarankan agar wujudnya ikatan kepercayaan antara kedua-dua pihak ini: "Komen yang positif daripada doktor akan menguatkan semangat pesakit, membuatkan mereka rasa lebih selesa serta membantu proses pemulihan". Beliau juga mengingatkan kepada para pesakit: "Bertukar-tukar doktor pula akan hanya membazirkan kesihatan, masa dan wang pesakit itu sendiri".


Hasil Karya

Al-Razi telah menghasilkan 237 buah buku di mana 140 buah daripadanya adalah berkaitan bidang perubatan. Sepuluh buah daripada buku-buku perubatan tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Antara kitab yang telah beliau hasilkan ialah Kitab al-Mansuri, Kitab al-Hawi Fit-Tibb, Kitab al-Muluki dan Kitab al-Judari wa al-Hasabah.


Kitab al-Hawi Fit-Tibb merupakan karya beliau yang termasyhur. Kitab ini juga dikenali sebagai 'Comprehensive Book' yaang merangkumi ilmu perubatan patologi dan terapi dari sumber-sumber Yunani, India dan Arab. Sepanjang hidupnya, beliau telah membuat pelbagai kajian mengenai ilmu perubatan. Beliau akhirnya telah menghimpunkan kesemua pengalaman perubatan tersebut ke dalam Ensiklopedia Perubatan yang berjumlah 20 jilid. Kitab al-Hawi merupakan pecahan terbesar di mana ia meliputi 9 jilid. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan nama 'Liber Continens' oleh doktor perubatan Yahudi berbangsa Sicily, Faraj Ibn Sallim (Farragut) pada 1279M dan diulang cetak beberapa kali pada 1509M di Venice dan juga 1528M, 1578M dan 1745M di Paris.


Kitab al-Mansuri pula merupakan kitab perubatan pertama yang ditulis oleh beliau. Ia dinamakan sempena nama pemerintah Rayy pada masa itu iaitu Mansur Ibn Ishaq. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1480M di Milan dan dikenali dengan nama 'Liber AlMansoris'. Ia mengandungi 10 jilid dan sebahagian daripadanya telah diterbitkan ke dalam bahasa Jerman dan Perancis. Terjemahan jilid ke-9 yang telah ditulis oleh Gerard Cremona dengan nama 'Nonus Al-Mansuri' adalah teks terkenal di Eropah sehingga kurun ke-16.


Kitab al-Judari wa al-Hasabah pula adalah kajian menyeluruh yang pertama berkenaan penyakit cacar dan campak. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin buat kali pertama pada 1565M dan kemudian ke dalam bahasa-bahasa lain dan diulang cetak sehingga 40 edisi di antara 1498-1866M. Ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh William A. Greenhill di London pada 1848M. Tesis berkenaan kedua-dua penyakit ini diiktiraf sebagai kajian sistematis yang sulung dalam sejarah perubatan. Pada masa yang sama juga, beliau telah menyarankan beberapa petua untuk merawat kedua-dua penyakit tersebut.


0 comments:

Post a Comment